Friday, December 23, 2011

Kisah Dongeng (episod 1)

Dalam sebuah kerajaan terdapat seorang ahli sihir yang sangat digeruni kerana kekejamannya dalam menggunakan ilmu hitam. Sejak beberapa kurun, ahli sihir tersebut bermaharajalela dengan kuasanya sehinggalah raja negeri itu berkahwin dengan seorang puteri yang cantik lagi bijaksana. Selain perwatakan sang puteri yang sangat peramah dan prihatin, beliau sangat disayangi dan disanjungi oleh rakyat jelata. Raja pun bertambah sayang akan puteri isteri tercinta. Arakian, hidup si ahli sihir semakin gundah gulana kerana kedudukannya semakin goyah. Beliau bercadang untuk memusnahkan hidup sang puteri dengan kejam.




Selain daripada manusia-manusia bijaksana dan kreatif, negeri tersebut dihuni oleh objek-objek ciptaan mereka yang bernyawa. Ia sengaja dicipta oleh ahli sihir untuk mempamerkan kekuasaannya dan menundukkan rakyat jelata agar patuh perintahnya. Suatu petang yang panas terik, ahli sihir telah mencipta cermin, kayu dan dinding yang bernyawa. Si cermin telah diedarkan kepada setiap kampung untuk mengumpan gadis-gadis cantik agar sentiasa bergandingan dengan si ahli sihir. Manakala kayu dan dinding dibiarkan bebas ke serata negeri untuk memporak-perandakan rakyat jelata. Tiada seorang rakyat pun yang sedar akan niat buruk si ahli sihir.

Sejak daripada itu, rakyat jelata mula menggunakan cermin, kayu dan dinding dalam kehidupan seharian. Para gadis sunti dan kaum isteri mula mengabaikan tanggungjawab mereka kepada ibubapa dan keluarga akibat keasyikan berada di hadapan cermin memerhati susuk tubuh dan paras rupa masing-masing. Petani-petani pula sudah mula memacak kayu membuat pagar untuk sempadan kawasan masing-masing. Dan tembok-tembok tinggi dibina dilereng-lerang bukit serta kawasan pantai untuk mengelakkan banjir besar dan air naik. Dan demikian, porak perandalah rakyat jelata apabila mereka sering bertelingkah dan semakin mementingkan diri sendiri.
Suatu malam yang hening, si kayu ciptaan ahli sihir menghampiri tembok yang sedang menangis. “wahai si tembok, mengapakah kau menitiskan air mata. Sebagai sahabat yang dicipta bersama, sudikah kau berkongsi kisah dukamu bersamaku?” pujuk kayu dengan lembut. “aku pilu. Sedih dengan hidupku. Mereka sendiri yang membinaku untuk melindunginya, sedang mereka asyik mengeji sesama sendiri menyebut-nyebut keturunanku. Dasar muka tembok!. Apa salah keturunanku? Bukankah mereka sendiri yang mencipta kita? Kenapa mereka mahu menghina ciptaan mereka sendiri?” “ oh. Kita serupa si tembok sahabat senasibku. Aku juga berasa hati sepertimu. Aku sering dituduh tidak bertanggungjawab. Harapkan pagar, pagar makan padi kata mereka. Walhal aku hanya si kayu. Demikian aku tersangat cemburu dengan si cermin. Ia disayang, dan selalu menjadi rebutan rakyat jelata sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab mereka kepada keluarga dan raja.” Luah si kayu dengan nada sayu. Mereka berdua berpelukan menangis sendu.

“wahai si kayu yang tulus dan si tembok yang gagah perkasa, mengapakah kalian terlalu bersedih sedangkan setiap masalah ada jalan selesainya, dan setiap penyakit ada ubatnya”. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan satu suara lunak merdu. Mereka menoleh kebelakang dan melihat seekor pari-pari sedang bertinggung di satu dahan pokok rendang. Mari dekatiku. Biar aku rungkai segala kemelut kalian.” Si kayu dan si tembok menghampiri pari-pari yang sangat jelita itu.

“mahukah kalian menjadi si cermin?” Tanya si pari-pari tatkala dihampiri kedua-dua mereka. Sambil berdiri dan dan bercekak pinggang si pari-pari mengulang pertanyaannya. Kemudian si pari-pari kembali duduk dan memasamkan wajah dan terus berkata. “aku benci pada cermin.” Kedua-dua mereka seraya bertanya “mengapa engkau membencinya wahai pari-pari?” dan si kayu menyambung “ bukankah semua wanita sukakan si cermin. Si cermin mampu meniru mereka tanpa sebarang beza. Si cermin juga dijadikan teman menangis, berbual dan bersolek. Apakah yang membuatkan kau benci pada si cermin?” Tanya si kayu ingin kepastian.Si pari-pari hanya menggelengkan kepala. Seketika kemudian si pari-pari berkata, “pintaku hanya satu, lindungilah tuan puteri dari segala bencana. Kalian akan tahu jawapan dari petanyaanmu tadi.”

1 comment:

Cak Kra WaLa said...

next episod plz...;)...x sabar nak tahu cerita seterusnya ni..