Tuesday, September 27, 2011

aku kan adik

'ayah dengan suara yang tak pernah dikawal volumnye : astafirullahhalazim.. kau cuba tengok anak kau buat apa kat bilik air tu ha! haiii anak cucu..'
ateh releaks sambil menganyam ketupat daun kelapa sambil menjeling-jeling isterinya. dalam kepala memang dah agak anak bujangnya panjang akal dalam bilik air tu.

'adik. habislah mandian kau. dipicit botol nye, habis berbuih satu kolah. bertuah punya anak cucu.' ayah menyambung bebelan. hey menteri, sudah! sudah! habis sabun makcik kau tu!' ateh... anak kau ni ambil lah.. berbuih dah kolah ni haaaa"
si cucu menjeling. 'ni acik punye lah'
kami berempat (mak, ateh, kak leha dan aku) senyum sumbing. si abang, kalau pasal harta mak ciknye, tak boleh di tegur. ringkas jawapannye nanti. "ni acik punye"

tiba-tiba mak buka mulut. "itu baru pancut sabun dalam kolah. tunggulah besar sikit. macam ayah dan makcik dia lah nanti. berkubang dalam kolah. kering air kolah dikerjakan. pandai pulak ganti air yang baru. tapi cerdiknya tak cukup, tapak kaki merata-rata kat lantai kolah. mana nak sorok? apa alasan lagi nak bagi?" haaaa dapat habuan "....... teruklah ateh disebat dengan rotan halus. aku tak kena, sebab aku mengikut jer. masa tu jadi pak turut jer.

itulah ayah dan makcik kau dulu. ke mana jer berdua. sorang hilang, mesti kena rotan...siang-siang mak nak tido, makcik kau menangis-nagis kena sakat dek ayah kau. lepas tu terkekek-kekek bergurau. orang nak tidur pun tak senang. pagi-pagi ayah kau pergi main guli. makcik kau didukung belakang. tinggal kat rumah kang takut adik dilarikan orang minyak. dulu takut sangat dengan orang minyak. sayang sangat-sangat kat makcik kau. hilang kang, mana nak cari?

makcik kau tidur, ayah kau menunggu kat tepi. nyamuk hinggap kat hidung, ayah kau spray dengan baygond kasi nyamuk lari. nak tampar kang, takut adik terjaga. jawabnye, makcik kau pening-pening lalat kena spray sambil mengadu, "mak...ateh cetttt (nak sebut spray tak pandai. patah lagi nak sebut baygond) adik. pening lah"...

bila dah besar sikit pandai nak main sendiri. dah mula malas nak bawa makcik kau berjalan sama. ditinggalkan kat dalam terowong jambatan rumah. siap lengkap bantal dan mainan. senja balik rumah, lupa nak ambil adik. lupa letak makcik kau kat mana. kena rotan lagi. timbullah cerita makcik kau kena sorok bunian. sehari suntuk makcik kau tak makan duduk dalam terowong tu ditinggalkan ayah kau... itu baru sikit tu...

aku menambah : bisul kat kepala pecah. ateh balik sekolah agama sarungkan songkok kat kepala adik. yelaah kan. petang-petang setia tunggu si abang balik sekolah. abang nak bermanja salah skill. meraung adik bila bisulnye pecah. diumpan dengan kueh gunting yang dibeli di sekolah agama rakyat td. itu tak termasuk cerita tertelan duit 20sen. masukkan syiling dalam mulut sebagai langkah2 keselamatan konon. bergurau-gurau sampai terguling-guling, dan akhirnya tertelan. hah! berak keluar syiling yang dah hitam terbakar.

"sampai besar satu kepala. ayah kau berdating, makcik kau jaga line. ayah kau nak keluar, makcik kau tukang minta duit minyak. makcik kau nak apa-apa kat atok, ayah kau yang tolong adjust kan. lepas tu hasilnye bahagi berdua." ayah menyampuk. aku dan ateh senyum-senyum malu. dalam maksud ayah tu.

bila balik kampung, tak ada salah sorang, tak lengkap.

Wednesday, September 21, 2011

donia oh donia......

teremo pula bila terbaca artikal dalam Metro pagi ni. berpuluh-puluh tahun dan mungkin beratus-ratus tahun amalan tersebut dilaksanakan di setiap surau-surau dan masjid-masjid kat dunia ni, kenapa baru sekarang nak keluarkan pekeliling itu dan ini?

sejak dah ada hiburan, konsert itu, karnival ini, amalan yang biasa dilakukan dianggap salah. apa punya gila lah manusia sekarang. mana pergilah jiwa mereka agaknya.

konsert-konsert, dan segala rancangan berbentuk hiburan yang terkinja-kinja menggegar semua tubuh tu tak pula dikeluarkan pekeliling menghadkan jenis pakaian atau tarian. paling tidak pun membataskan hubungan peserta yang bukan mahram.

kenderaan awam diminta diasingkan gerabak untuk perempuan dan lelaki. tapi joint majlis-majlis hiburan tak rimas pula digesel, disondol secara tak sengaja tu (tak sengaja lah sangat).

cuba bayangkan, amalan mengaji sebelum subuh tu mampu menarik jiwa mana-mana hamba allah untuk bertaubat, masuk islam atau paling tidak terikut-ikut membaca surah-surah suci tersebut.
alaaa macam lagu-lagu juga lah. bila berkumandang kat radio, ringan jer mulut melalak melolong. lama-lama hafal lah sepatah dua kata. sekurang-kurang nye tahu lagu tu lagu siapa.

mengaji kat surau tu sebenarnya secara tak langsung satu proses pembelajaran kepada anak-anak kecil. setan pun boleh lari bila dengar orang mengaji. kuranglah orang buat dosa, mudah-mudahan.

ini pendapat aku. kalau ada sesiapa yang tak boleh terima, up to you. aku tak rugi apa-apa pun. ada orang cakap hak masing-masingkan, dosa sendiri-sendiri, kubur lain-lain. tapi satu aku nak pesan kat orang yang suka cakap macam tu. 'kubur memang lain-lain, tapi kalau kubur kau sebelah aku, tak ke mengganggu aku nanti. kita kongsi bersama dunia ni. bukan kau punya sorang-sorang.

Thursday, September 8, 2011

kisah hati

Langit mendung semendung sebuah hati. Angin dingin menghembus rakus namun tak mampu menandingi kehangatan hati yang membara. Hati makin pilu, mengendong manic jernih yang entah bila kan mengalir keluar. Hati terus dicengkami rasa gundah. Serba tak kena. Hati dan akal saling bertelingkah arah.


Duhai hati, andai benar keikhlasan yang dibawa bersama, genggam eratlah hatinya, agar tidak hati itu pergi bersama hati lain andai sebaliknya, lepaskanlah hati itu. Biarkan ia pergi dan tabahlah wahai hatiku...

Ya rabbal alamain. Andai benar hati itu milik hatiku. Berilah petunjuk, panjangkanlah pertemuan ini, lindungilah dari sebarang noda, prasangka dan keburukan, pimpinlah ke jalan yang di redhai olehmu.....

Tapi seandainya hati itu bukan milikku, aku bermohon padamu ya allah, berikanlah aku kekuatan untuk menerima kenyataan yang senyatanya. Sesungguhnya engkau yang maha pemurah lagi maha penyayang. Ku bermohon agar tidak sesekali perasaan menguasai diri. Biarlah iman menguasai hati dan akalku. Sesungguhnya aku yang dicipta olehmu amat kerdil dan jahil.

Ya tuhan... aku berserah segalanya padamu

Wednesday, September 7, 2011

kisah sebuah cinta

Kenapa perlu cinta yang tak kesampaian disimpan dalam benak hati? Apakah kesudahannya? Adakah mampu bersatu bagai sebuah kisah cerpen atau novel cinta?


Mengapa cinta yang tidak kesampaian hadir saat-saat bahagia datang bertamu? Atau sekadar hadir menggoyang kasih yang rapuh agar runtuh bak bangunan diletupkan bom motar?

Bagai sebuah gunung berapi aktif yang memuntahkan lahar panas. Cinta yang dipendam terus membara dan memdemdam rasa menunggu penuh pasti agar mimpi menjadi reality. Mungkinkah cinta yang dahulunya terputus ditengah jalan adalah cinta sejati seperti kata-kata si pujangga cinta. Cinta sejati tidak mungkin bersatu, lihat sahaja contohnya. Uda dan dara, laila dan majnun, ia sekadar lagenda cinta setia yang tiada berpenghujung. Cinta yang tak terluah dek kata-kata lalu dipendam –simpan di dalam lubuk hati.

Tapi haruskah cinta itu hadir menggoncang hati sebuah kebahagian sedang dulu cinta itu pergi jauh menebal hati meninggikan ego diri. Cinta yang dulunya diharap membahagiakan, melambai tangan membina cerita baru dari air mata ini. Kini cinta itu kembali, mengetuk pintu hati yang sedang asyik-masyuk dengan nikmat nya kebahagian. Cinta yang hampir pudar ditelan masa, kembali segar merungkai rindu semalam. Memujuk, merayu, minta dikasih-disayang.

Kisah sebuah cinta yang tidak kesampaian dek sikap terlalu memendam rasa mengharap pihak di sana menyelongkar sendiri hati ini. Mengharap kata-kata hati di dengar walau sendiri tidak pernah meluah. Ah! Bodoh benar mejadi seorang perindu jika sekadar dipertengahan jalan. Akhirnya pasti dia muncul kembali menyata sesal, menghemburkan maaf dan meluah kasih. Pastinya keterpaksaan dan belas ihsan dengan pengundurannya yang konon mengalah dengan takdir. Lakonan semata-mata. Benar kata orang. Hargai ketika ada. Perginya, sudah hak orang, mungkin.

Memang mudah melafazkan sanggup dan rela. Hakikatnya tiada siapa tegar berkongsi kasih walau payung emas menjadi habuan. Kesempurnaan menjadi satu cabaran. Kehebatan pasti meruntuhkan semangat. Pengunduran bukan jalan penyelesaian. Benteng tidak harus mudah roboh. Persetankan watak tambahan itu. Andai hati benar ikhlas, cinta pasti bersatu. Nasib manusia di tangan manusia itu sendiri. Segalanya dengan izinNYA.

Tuesday, September 6, 2011

anak dara mak ayah dah jadi isteri orang

Sebenarnya aku tak ada niat nak bercerita pasal politikus. Aku nak bercerita pasal alam perkahwinan. Ecececeh... gatai hang naa.. pandai dah certia pasal kahwin-nikah. Bukan apa, cuti raya seminggu itu hari aku telah berkursus dengan mak dan ayah. Mak ayah dah mencuci mindaku dengan himpunan nasihat dan pesanan. Dah tiba masanya, katanya. Anak dara ayah ni dah besar, kena belajar semua ni. Tak boleh main-main dah. Ke mana pergi bawa nama suami mak ayah dan mentua. Jadi, jaga maruah, tingkah laku. Apa anak dara ayah buat, orang cakap – anak dara si polan tu, si polan tu tak pandai jaga anak. Macam tu juga dengan suami dan mentua. Isteri siapalah tu, menantu si polan si polan.”


Ntah kenapa aku tidak sedikit pon menutup telinga. Terasa berminat dengan ceramah mak dan ayah. Mereka lebih dulu ‘makan garam’ tapi mak ayah memang tak ada darah tinggi tau! Mungkin dengan cara ni aku belajar untuk menjadi isteri sehebat mak. Iyer! Mak memang hebat. Tak pernah sekali lupa untuk masak walaupun sakit atau demam. Mak tak akan tidur jika ayah tak tidur. Mak tak pernah gagal menyambut ayah di muka pintu setiap kali ayah pulang dari mana-mana pun. Mak memang hebat. Mungkin dengan menadah telinga hari ini aku mampu menjadi sekental ayah. Ayah memang lelaki kental, rajin dan kuat semangat. Ayah tak pernah duduk saja di kedai kopi main dam aji, sibuk bermesyuarat politik sana sini, jauh sekali duduk di rumah goyang kaki. Ayah. Parangnya tak pernah lucut dari pinggangnya. Dengan seluar pendek, singlet pagoda ada sahaja kerja yang nak dibuat asal sahaja lagu bollywood berkumandang, ayah tak akan duduk diam kecuali ketika mengasah parang pisau. Ayah memang mahir menajamkan senjata macam tu. Tapi tiada antara kami yang mewarisi bakatnya.

Ayah pesan, jangan sesekali berat sebelah antara orang sini (mak ayah) dengan orang sana (mentua). Apa untuk mak ayah, itu juga untuk mentua. Kalau mentua dan ipar duai berbincang jangan masuk campur kecuali jika berkepentingan. Balik rumah mentua ringankan tulang, bangun pagi-pagi jaga pekerti, tingkah laku, jangan pandai panjang tangan. Bab bangun pagi aku segera gelengkan kepala. Ayah memang faham dah. Anak dara dia ni memang liat bangun pagi. Ayah cakap lagi. Nanti dah kahwin ada anak cucu jangan sesekali abaikan suami. Jangan tinggalkan suami sebab nak jaga cucu, sebab nak ikut anak menantu berjalan – membeli belah. Suami didulukan.

Mak cakap bukan susah pun nak jaga suami. Jaga perut dan nafsu dia jer. Nafsu lelaki bukan banyak, satu jer. Jangan malu diranjang. Bukan orang tahu pon. Kisah korang suami iteri jer. Layan suami first class. Bagi makan kenyang-kenyang dari setiap sudut. Belajarlah masak. Mula-mula memang kurang garam gula bagai. Lama-lama nanti pandailah tu. Belajar dari kesilapan. Merajuk macam mana pun dengan suami, bergaduh ke tak sihat ke, cuba juga masak. Itu jer pengikat kasih sayang kita dengan suami. Kalau dia lapar mesti dia makan. Kat kedai tu tak sama dengan yang kita buat. Kalau suami suka tegok bola, jangan larang, jangan kacau. Bagi ruang kat dia nak berseronok dengan hobi dia. Kalau suami marah diamkan, jangan menjawab. Lelaki ni kalau perempuan menjawab, mulut potpet-potpet lebih dari suami, dia ringan sepak terajang. Maklumlah hilang kawalan. Jadi, jangan biarkan suami kita berdosa.

Ayah menyampuk, jangan tinggalkan suami lama-lama kat rumah. Kesian dia. Suami ni kan raja hati isteri, imam kepada isteri dan anak-anak. Dah kahwin nanti jangan asyik nak mengadu jer dengan mak ayah. Ada masalah bincang sama-sama. Cuba selesaikan sendiri. Jangan nak merajuk jer selalu. Kalau anak ayah dah kahwin lari dari rumah suami sebab merajuk, ayah tak akan tunggu menantu datang jemput, tapi ayah sendiri yang akan hantar anak ayah balik rumah suami dia. Ingat tu!

Mak cakap lagi, kalau nak balik beraya jangan bergaduh nak balik mana. pegang istilah RUMAHKU SYURGAKU. Beraya dulu di rumah sendiri. Salam cium tangan suami. Minta ampun dengan iklas seikhlas ikhlasnya. Tangan suami yang paling utama kita cium masa pagi raya. Lepas tu balik rumah mentua dulu. Dia anak lelaki, mesti dahulukan mak dia. Walaupun dia dah kahwin, dia masih milik mak dia. Last sekali baru balik jumpa mak ayah kat sini. Insyaallah mak tak terkilan kalau kau tak balik sebab suami dan mentua. Itu memang lumrah kau sebagai isteri dan menantu. Tapi kalau dia sendiri yang ajak balik ke sini, itu satu bonus untuk kau. Hargai dan ucap terima kasih. Ingat pesan mak ni. Elakkan buat benda yang tak elok, kalau tak nak anak menantu buat yang tak elok juga nanti. Hidup ni macam roda. Suatu hari kita akan merasa balik apa yang pernah kita buat dulu. Sebenarnya apa yang kita buat kat orang, adalah satu simpanan. Itu jugalah yang kita akan dapat nanti.

Ayah tak nak anak ayah panggil suami dengan nama. Berikan pangkat atau gelaran istimewa untuk dia. Memang dengar macam meloyakan, tapi itulah yang membanggakan si suami. Panggilkan sayang, abang, atau panggilan yang sedap-sedap. Jangan samakan panggilan kita dengan anak-anak. Jangan panggil suami ayah, abah, papa. Itu gelaran untuk anak.

“Susahnya nak kahwin mak ayah.. Tak jadilah nak kahwin.” Hahahahaha

Insyaallah. Aku cuba buat yang termampu. Ni merupakan azam 2012 aku.