Bunyi tabuh kedengaran bergema ke serata negeri. Semua rakyat jelata meninggalkan aktiviti yang sedang dilakukan dan bergegas ke perkarangan istanan raja. Tidak mengira jantina, umur dan saiz badan, semua rakyat berasak-asak untuk memerhatikan raja dan isterinya dari dekat. Mereka juga tertanya-tanya tujuan perhimpunan itu diadakan secara mengejut. Laksamana mewakili raja mengkhabarkan bahawa istana akan mengadakan majilis makan dan tari menari buat rakyat jelata. Semua diminta hadir dan tiada pengecualian walau dari segi umur. Tuan puteri berhasrat untuk bermesra bersama rakyat dan mendekati keperitan rakyat jelata yang disayanginya. Selepas pengkhabaran tersebut, semua rakyat bersorak gembira. Mereka melaungkan ucapan terima kasih kepada raja dan isteri.
Di balik bukit, kemarahan ahli sihir semakin membuak-buak. Dia nekad untuk memusnahkan majlis tersebut dan membunuh tuan puteri ketika majlis sedang berlangsung. Sambil berjalan ke kiri dan ke kanan, otaknya ligat berfikir bagaimana cara untuk membunuh tuan puteri. Setelah kepenatan berfikir, ahli sihir tertidur dan bermimpi. Sihir melalui pantulan adalah cara terbaik untuk membunuh tuan puteri memandangkan pihak istana tidak menjemput ahli sihir untuk turut serta pada majlis tersebut. Ditambah lagi askar-askar yang berkawal ketat pada malam tersebut, agak sukar untuk ahli sihir membunuh tuan puteri, seterunya itu.
Keesokkan paginya, ahli sihir menyeru semua ciptaannya yang dicipta bernyawa termasuklah si kayu, si tembok dan si cermin. Mereka semua berkumpul di rumah ahli sihir untuk mendengar rancangan jahat ahli sihir dan bersedia menerima sebarang arahan yang diberikan. Disebabkan satu-satunya cara untuk membunuh tuan puteri ialah dengan pantulan, ahli sihir yang berhati busuk dan berjiwa kejam mengarahkan si cermin untuk sentiasa berada bertentangan dengan tuan puteri sepanjang majlis pada malam tersebut. Manakala kepada yang lain-lain pula haruslah memastikan dan membantu si cermin untuk misi jahat tersebut. Tiada kata dua, arahan si ahli sihir perlu dipatuhi tanpa gagal. Mereka diugut untuk dicabut nyawa mereka jika cuba membantah.
Selesai memberi tunjuk ajar, mereka diarahkan pulang ke tempat masing-masing oleh ahli sihir. Cermin tersenyum bangga. Ia merasa begitu hebat kerana terpilih dan diberi kepercayaan oleh ahli sihir. Rakan-rakannya yang lain hanya senyum sumbing, dan ada juga yang menunjuk riak iri pada cermin. “nah, lihatlah oleh kalian. Betapa hebatnya aku yang dicipta sebagai cermin. Sepanjang hidupku disukai oleh semua orang. Kemampuan ku meniru mereka menjadikan aku sering dipuji dan disanjung. Dan sekarang, tuan yang mencipta kita memilih aku untuk menyelesaikan tanggungjawab besar ini. Betapa aku ini lebih hebat daripada kalian. Betapa aku ini menjadi kepercayaan daripada kalian semua.” Si cermin terus membangga diri sambil mendabik dada. Dalam perjalanan pulang, tiada apa yang dibualkan oleh si kayu, si tembok dan beberapa rakan yang lain. Si cermin bersiul-siul riang sepanjang perjalannya.
Hari yang dinanti telah tiba. Semua rakyat jelata haiwan dan benda-benda bernya berkumpul di perkarangan kawasan istana untuk bergembira. Mereka berhias memakai pakaian baru, berhias cantik dan dan segak. Muzik dimainkan dan mereka dengan gembiranya menari, menyanyi dan makan-makan. Raja dan tuan puteri dengan rendah diri turun padang turut serta bersama rakyat. Walaupun diiring oleh pegawai-pegawai keselamatan, ia tidak menyekat tuan puteri untuk bersalaman dan berbual mesra bersama rakyat jelata yang menghulur salam. Tuan puteri tidak sedikit kekok menyambut salam si miskin, kanak-kanak cacat dan pengemis yang turut hadir malam itu. Ini membuatkan rakyat berasa selesa dan semakin sayang dengan sikap tuan puteri yang sangat merendah diri dan tidak pilih kasih.
Di dalam sebuah gua dihujung kampung, si ahli sihir sedang bertungkus lumus membaca mantera untuk menyeru kuasa jahat bagi menyihir tuan puteri. Tiba-tiba guruh kuat dan awan menjadi hitam. Satu pancaran cahaya tepat menuju laju kearah si cermin yang sememangnya bersedia berada bertentangan di hadapan tuan puteri. Dalam kekalutan kerana semua rakyat bertempiaran lari, si tembok terlanggar si batu dan terjatuh. Tetapi ia bersyukur kerana tersandar pada kayu yang kebetulan ingin membantu si tembok. Tanpa diduga, ilmu sihir yang dipantulkan kepada tuan puteri melalui si cermin terhalang oleh si tembok yang tersandar pada si kayu. Si tembok terus tumbang akibat panahan sihir tersebut. si batu yang berada di kakinya terpelanting ke arah cermin dan mengakibatkan cermin pecah berderai. Dengan tidak semena-mena, awan kembali cerah. Si kayu cuba mambantu si tembok yang rebah. Si tembok bernasib baik kerana tiada kecedaraan parah yang dialami, sekadar luka kecil pada tubuhnya yang sasa. Tuan puteri tiba-tiba bersuara, mengarahkan rakyat jelata bersatu padu melindungi diri , keluarga dan Negara. Usah terpedaya dengan manusia lain yang bersifat seperti cermin yang tak ubah seperti gunting dalam lipatan.
Si ahli sihir jatuh tergolek ke bawah kerusi. Rambutnya kusut masai dan badannya terasa sakit-sakit. Segala perancangan dan niatnya untuk membunuh tuan puteri hancur musnah. Siapa yang ingin dipersalahkan? Tiada guna membunuh atau menghukum si kayu dan si tembok. Sedangkan si cermin telah hancur berkecai di lontar si batu tanpa disengajakan. Ahli sihir nakad lari dari kampung tersebut. Dia amat kecewa dan malu dengan apa yang berlaku.
Di tepi sebuah pondok using, si kayu cuba mengubati luka si tembok. Dengan penuh hati-hati dan kasih sayang sebagai seorang sahabat. Tiba-tiba satu cahaya terang muncul. Pari-pari tersenyum sambil menudingkan tongkat ajaib dipegangnya ke arah si tembok. Luka si tembok terus hilang dan si tembok sihat seperti sedia kala. Si kayu terus bangun. Dengan penuh bersemangat ia berkata. “wahai pari-pari, aku tidak mahu menjadi cermin. Aku bersyukur menjadi kayu. Walaupun aku hodoh. Namun aku punya pendirianku sendiri. Aku tidak meniru sesiapa. Aku adalah aku. Aku mengukur baju di badanku sendiri. Aku gembira menjadi diriku sendiri tanpa perlu mengorbankan diri meniru orang lain. Aku puas dengan cara hidupku. Dan aku begitu menghargai apa yang aku miliki kini. Walaupun aku hanya si kayu, tetapi aku tidak serapuh si cermin yang tidak tetap pendirian dan rapuh jiwa. Betul katamu wahai pari-pari. Kini aku telah mendapat jawapan dari persoalanku tempoh hari.” Si kayu insaf, sedar dengan irinya pada si cermin.
Kini sedarlah mereka, betapa diri sendiri perlu punya pendirian yang tetap. Tak perlu bersaing merebut kuasa. Ada yang lebih berkuasa lagi. Sedari itu, rakyat jelata negeri itu hidup aman dan damai di bawah pemerintahan rajanya yang bijaksana dan puterinya yang sangat prihatin kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment